Jersi lambang salib

Piala dunia telah pun melabuh tirai lebih sekian lama. Dalam penglihatan sepanjang kejohanan tersebut, sudah menjadi trend bagi remaja-remaja kini untuk memakai jersi-jersi pasukan pilihan mereka. Namun, tidak sedarkah mereka terdapat berlaku syirik secara tidak disedari...

TABARRUJ di facebook

Facebook merupakan laman sosial kegilaan ramai buat masa kini. Namun di sebalik penggunaan facebook, tanpa kita sedari pelbagai dosa berlaku di kalangan pengguna.

Betulkan tudung anda

Pada hari ini, dapat kita perhatikan ramai muslimah mulai sedar akan kewajipan mengenakan tudung tetapi sayangnya kebanyakan dari mereka masih belum mengenakan tudung yang benar-benar sesuai dengan kehendak syariat.

Dari 'setan' jadi ustaz

Azmil Mustapha adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan ‘penghijrahan’ daripada kehidupan yang penuh ‘lagha’ kepada pengabdian diri kepada Allah. Ikuti kisah beliau

Lelaki dan blue

Blue, suatu istilah yang tak perlu diperkenal lagi. Ianya cukup sinonim dengan kaum lelaki pada masa kini. Mereka tidak kira pelajar sekolah, kolej dan universiti, baik penganggur dan pekerja awam, kesemuanya pasti cukup mengenalinya.

Grand dinner mungkar

Tahukah anda masquerade berasal dari pesta topeng yang dijalankan secara turun temurun oleh kelompok bangsawan eropah pada satu ketika dulu? Apakah kaitan pesta topeng ini dengan festival St. Stephen’s Day yang diraikan pada 26 Disember setiap tahun?
Showing posts with label semasa. Show all posts
Showing posts with label semasa. Show all posts

Saturday, October 1, 2011

10-1=0

Posted by salafus-sholih at 12:30 PM 18 comments

Pasti semua antara kita ingin berusaha menjadi orang yang lebih baik, sentiasa ingin melakukan kebaikan, atau melakukan sesuatu sumbangan dalam agama. Tetapi, dalam menuju ke arah yang dimaksudkan itu, kadang-kadang kita tersilap, tergelincir mahupun tersasar. Seperti sedia maklum, tiada siapa manusia yang sempurna di sini. Namun, sikap sesetengah manusia yang gemar menghukum secara total adalah amat menggusarkan kita. Kami ingin membicarakan beberapa isu yang sering dibangkitkan dalam masyarakat kita. Semoga kita semua diberi kefahaman dan seterusnya dapat membetulkan persepsi ini.


Ingin berubah tetapi dihukum

Tiada siapa yang tidak ingin berubah menjadi lebih baik. Tetapi apabila ada segolongan melontarkan kata "Kau tidak bertudung, pasti masuk neraka!", apakah yang dapat kita fikirkan tentang perasaan mereka? Ungkapan seperti ini seringkali dijaja oleh sesetengah daripada kita di mana niatnya cukup baik dalam mengajak insan mendekati tatacara sebenar seorang muslim, namun intipatinya jauh tersasar. Adalah tidak benar menghukum seseorang masuk neraka sewenang-wenangnya seolah-olah kita yang memegang kunci pintu neraka. Haruslah diketahui, setiap amalan insan di muka bumi ini akan dihisap oleh Allah SWT, jika amal kebaikannya melebihi keburukan, maka terlepaslah dia dari azab api neraka, juga sebaliknya. Masih ingatkan kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW tentang masuknya syurga oleh seorang pelacur setelah dia memberi minum kepada seekor anjing (HR Bukhari)?


Ingin belajar tetapi ditakut-takutkan

Kadang-kadang apabila kita sedang asyik melayari internet, membaca artikel-artikel keagamaan, kita disergah "Menuntut ilmu tanpa berguru ibarat belajar dengan syaitan!" Ungkapan ini cukup terkenal sekali pada hari ini sehingga kita sangka ianya adalah sabda dari Nabi SAW. Sekali dengar memang agak pelik, sekiranya menuntut ilmu tanpa berguru ibarat belajar dengan syaitan, adakah menuntut ilmu berguru ibarat dengan malaikat? Apakah jaminan sekiranya kita menuntut ilmu dengan guru kita tidak sesat? Kita tak nafikan betapa pentingnya berguru terutamanya membabitkan dalam menuntut ilmu-ilmu yang asas dan kompleks. Namun, tindakan menakut-nakutkan orang ramai dengan ungkapan ini menyebabkan mereka menjadi takut dan malas untuk mempelajari sesuatu ilmu yang baru. Zaman dahulu mungkin sukar untuk menjumpai sumber ilmu melainkan dari guru, tetapi pada hari ini mudah sahaja diperoleh menerusi kitab, buku, internet dan sebagainya. Apa salahnya mereka memanfaatkan kemudahan yang ada dalam masa yang sama menyemak kesahihan ilmu yang diperoleh mereka?


Ingin berdakwah tetapi dikondem

Sesetengah dari kita berfikiran sempit menganggap urusan dakwah hanya dikhususkan di masjid atau hanya dilakukan oleh para ustaz dan ulama semata-mata. Bagi mereka, dakwah oleh orang kebanyakan di alam maya, seperti blog, facebook, youtube dan sebagainya adalah tersasar kerana tidak ada 'lesen' atau tauliah untuk berbuat demikian. Sebahagian dari mereka lagi menganggap kata-kata ustaz mereka adalah mutlak belaka, dan barang siapa yang berbeza pandangan dengannya dikatakan sesat! Ini juga berlaku apabila, sesetengah anak muda yang cukup berdakwah secara kreatif cuba menyedarkan orang awam, mengkaji perihal fenomena yang tidak kena dengan kehidupan kita masa kini, (kita kenal dengan hari ini sebagai 'teori konspirasi'), mereka diherdik, diperlekehkan, dan dihina hanya kerana dikatakan banyak mengemukakan pandangan yang silap dan membuang masa.


Ingin melakukan kebaikan tetapi diprejudis

Meneliti senario politik di negara kita, terasa amat lucu sekali melihat telatah pak menteri, para YB dan ahli politik yang lain apabila mereka saling bercakaran. Apabila pihak kerajaan menaikkan harga barang, mereka akan dimaki pihak pembangkang, tetapi
apabila mereka menurunkan harga minyak, disindir pula macam-macam. Di sebelah pihak pula, apabila pihak pembangkang merobohkan tapak penjaja haram, mereka akan dikutuk pihak kerajaan, tetapi apabila mereka baik hati memberi wang sagu hati kepada golongan miskin, dituduh pula ambil wang haram. Amat bingung sekali melihat situasi yang kebudak-budakan ini. Mengapakah sukar kita untuk bersangka baik akan kebaikan yang dibuat mereka, seolah-olah mereka datang dari parti cap sampah yang tiada langsung sumbangan buat negara?


***

Sedarilah kita bahawa kehidupan kita sebenarnya lebih banyak menghukum berbanding memperbetulkan mereka. Alangkah indah sekiranya segala kekurangan yang dimiliki kita, cuba ditampung secara bersama semula, bukan dihukum secara mutlak seolah-olah tiada peluang untuk memperbetulkan semula. Kehidupan kita sememangnya tidak akan sempurna, maka tak perlulah seolah-olah menganggap kita semua cukup sempurna. 10-1 adalah bersamaan dengan 9, bukan 0. Wallahualam

Tuesday, August 9, 2011

Bukan fantasi, tapi realiti

Posted by salafus-sholih at 10:19 PM 23 comments
Sempena meniti hari demi hari di bulan ramadhan yang mulia ni, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai diri sendiri sejauh mana kedudukan kita.

Kredit kepada purpletiger9090 atas video ni, suatu video merangkumi beberapa isu semasa melanda umat Islam, yang perlu diberi perhatian oleh kita.


p/s: Maaf jika blog in masih tak berupaya hasil video terbaru. Sekurang-kurangnya thumbnail Dr. MAZA di sebelah sudah bertukar :D



Friday, May 6, 2011

Tawaran dan permintaan

Posted by salafus-sholih at 10:22 AM 21 comments

Saya mendapat mesej tentang pemberitahuan kewujudan satu page di facebook iaitu “pengumpul gambar awek bertudung” seperti yang ditunjukkan pada screeshot di bawah. Page tersebut mungkin sudah tiada, tetapi kekalutan kebanyakan ramai dalam menghadapi masalah sebegini yang kita ingin ulas.


Secara umumnya, apa yang dapat difahami adalah page tersebut giat mengumpul koleksi gambar-gambar perempuan bertudung dan kriteria utama yang dipilih semestinya adalah mereka yang comel, kiut dan menawan. Tidak jelas apakah motif pemilik page tersebut, barangkali bersangkut paut dengan hobi umpama mengumpul setem, penutup botol, kulit siput dan sebagainya. Siapa tidak marah akan kewujudan page tidak bertanggungjawab ini yang jelas mengeksploitasi “privacy” pengguna facebook. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, mereka yang menjadi mangsa tentu lagi geram dan rungsing melihat bagaimana gambar mereka sewenang-wenangnya terpampang di wall tersebut sambil dikomen berjela-jela oleh orang ramai.


Pasaraya lambak

Perihal sebegini sebenarnya mematuhi satu konsep yang kebanyakan kita sangat mengetahuinya iaitu “supply & demand”. Ia umpama perniagaan jual beli, pengilang-pengilang akan supply botol kicap jenamanya sendiri apabila ianya mendapat demand yang tinggi dan market menjadi orang tengah antara kedua-dua supply dan demand. Maka konsep ini juga diaplikasi untuk perihal page tersebut, ianya hanya bertindak sebagai market yang sekadar memenuhi demander (baca: lelaki miang) yang tinggi tatkala memanfaatkan supplier (baca: gambar awek bertudung) yang terlampau banyak. Sekarang sepatutnya anda memahami, market tersebut yakni page “Pengumpul awek bertudung” hanya bertindak sebagai orang tengah bagi memenuhi keperluan permintaan ramai. Kini, kebanyakkan lelaki tidak perlu lagi menge-add seorang demi seorang perempuan kerana mereka hanya perlu like satu page ini sahaja untuk memuaskan nafsu mereka.


Tindakan lanjut

Sekarang apa yang perlu dibuat untuk menghentikan page tidak bermoral ini? Cadangan kebiasaan yang kita selalu dengar dari kebanyakan orang adalah report page tersebut kepada pihak facebook secara beramai-ramai. Bukan untuk menidakkan cadangan sebegini, tetapi jikalah tindakan ini berjaya, apakah jaminan anda tiada page sebegini akan tumbuh berulang kembali? Seperti yang dikatakan sebelum ini, page itu hanya bertindak sebagai market yang menghimpun segala bagai koleksi gambar, sekiranya market itu runtuh, mereka boleh membangunkan semula market yang lain disebabkan permintaan masih tinggi disamping penawaran yang sangat banyak. Nah, memang berlambak pun market ini tersebar di serata internet atas nama blog. Anda boleh google dan semak la sendiri betapa banyak koleksi gambar-gambar awek bertudung bertaburan di merata-rata.



Syor terbaik

‘Mangsa’ teraniaya daripada page tersebut sering mengaduh mengapa mereka menjadi mangsa, sedangkan mereka bertudung? Amat malang sekali mereka lupa cara memakai tudung yang sepatutnya, yakni menutup aurat dengan sempurna. Mereka juga tak mengendahkan perihal dosa tabarruj. Kedegilan mereka ini menjadi ‘rezeki’ buat sang durjana.

Untuk mengatasi kekalutan ini, maka,kita cadangkan hapuskan terus sahaja tawaran-tawaran yang berlambak tersebut. Dengan berkurangnya penawaran, permintaan makin berkurang, apatah lagi market yang bertindak sebagai ejen ini. Itulah sebabnya Rasulullah SAW telah memberikan peringatan penting tentang perihal ini, namun kita semua mengambilnya sebagai remeh.

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita” (HR Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Apabila gambar mereka dicuri dan dipaparkan di mana-mana, mereka mengecam sebagai pengaiban. Cuba anda perhatikan sendiri apakah yang dilakukan oleh kebanyakan wanita sekarang yang disangkanya telah menutup aurat dengan sempurna, sehingga tanpa segan silu mengupload gambar pelbagai posing di facebook. Mereka sendiri yang mendedahkan keaiban mereka dahulu dan pemilik page tadi sekadar menyambung keaiban mereka.


***

Akhir kata, cubalah bermusahabah diri masing-masing. Kita suka nak menyalahkan orang lain, sedangkan segalanya adalah berpunca dari diri sendiri. Mengapakah kita hendak menyalahkan market tersebut, sedangkan kita sendiri yang bertidak sebagai supplier untuk memuaskan nafsu demander!




Gambar kredit kepada http://petuakitasemua.blogspot.com/2011/04/wajib-baca-facebook-pengumpul-gambar.html

Sunday, April 3, 2011

Tarian poco-poco: Antara haram dan harus

Posted by salafus-sholih at 1:52 PM 20 comments
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 24-26 Januari 2011 lalu telah memperakukan supaya tarian atau senaman poco-poco diharamkan. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu suratnya mengatakan tarian poco-poco adalah haram atas asas ianya mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ianya sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian [1].

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu kenyataan pula
mengatakan tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah. Jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah, atau dicampuri perbuatan yang salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan [2]. Pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim pula hampir senada dengan bekas Mufti Perlis tersebut dengan mengatakan tarian poco-poco hanyalah sejenis tarian berbentuk senaman serta tidak perlu diharamkan di seluruh negara. [3]




Ulasan


Saya ingin memberi sedikit ulasan tentang pertelingkahan mengenai pandangan tarian poco-poco ini. Setelah diteliti pandangan-pandangan di atas, perbezaan pandangan hanyalah berkait dengan sama ada tarian poco-poco dipengaruhi dengan akidah yang silap yakni kepercayaan agama Kristian atau tidak. Dr. Mashitah Ibrahim memetik sebagai berkata tarian poco-poco yang diamalkan di setiap negeri mungkin berbeza antara satu sama lain. Jadi, jika kita terima alasan yang diberikan oleh beliau, maka kita boleh membuat misalan bahawa tarian poco-poco di negeri Perak berkait rapat dengan kepercayaan agama Kristian sedangkan di negeri-negeri lain pula tidak. Kita mungkin boleh bertolak ansur dengan perbezaan pandangan ini, tetapi bagaimana pula dengan batasan perbuatan yang salah untuk dikaitkan dengan tarian poco-poco seperti mana yang ditekankan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin?

Fenomena tarian poco-poco yang kita kenal pada hari ini bukanlah satu aktiviti yang dilakukan di kawasan tertutup di lingkungan rumah masing-masing, tetapi ianya dilakukan secara terbuka di kawasan tanah lapang yang disertai oleh segelinap masyarakat tidak kira lelaki mahupun perempuan. Ianya terus dipraktikkan secara meluas tidak kira di sekolah, kolej, universiti mahupun agensi-agensi kerajaan sendiri sehingga sebahagian menjadikan tarian tersebut sebagai rutin harian.

Anda dapat bayangkan bagaimana disebalik ramai yang memperagakan tarian poco-poco, gerak geri wanita yang lincah itu diperhatikan oleh sebilangan lelaki. Hatta mereka yang berbaju dan bertudung labuh pun tidak akan terlepas untuk diperhatikan di mana ada kemungkinan tudung mereka terselak mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya akibat daripada pergerakan aktif ini. Ini tidak kira lagi buat wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna yang berbaju ketat dan berseluar legging. Tambah-tambah pula, apabila pengajar tarian poco-poco kebanyakan di kalangan wanita ini berdiri di pentas kononnya ingin memberi tunjuk ajar, tetapi entah apa yang hendak ditayangnya. Allah telah berfirman:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (an-Nur ayat 31)

Jadi, buat mereka yang mungkin ingin mengikut pandangan yang lebih ringan tentang hukum tarian poco-poco ini, hendaklah mereka menilai semula bagaimana sebaik cara untuk memperagakan tarian ini dalam lingkungan patuhan syarak yang ditetapkan tanpa mengundang pelbagai fitnah. Saya lebih cenderung untuk mengikut pendapat Ustaz Abu Haseef supaya meninggalkan perkara yang meragukan dan syubahat memandangkan tarian poco-poco ini adalah suatu tarian yang meragukan kerana tidak diketahui siapakah pemilik budaya sebenar sama ada ianya tarian agama ataupun tarian budaya. Jika kita berbalik semua kepada kaedah yang diajar oleh Nabi SAW, insyaallah akan selamatlah maruah agama dan diri kita [4]. Wallahualam




[1] Perak haramkan tarian poco-poco
[2] Tarian poco-poco secara asasnya harus

[3] Mashitah: hanya senaman

[4] Kenapa poco-poco haram?

Tuesday, March 29, 2011

Masih selamatkah membaca akhbar tempatan?

Posted by salafus-sholih at 8:39 PM 20 comments

Tatkala sedang membelek satu persatu muka surat akhbar hari ini, terdetik di fikiran, benarkah ini sebuah akhbar? Benarkah akhbar ini dijual secara terbuka yang dibaca oleh semua peringkat umur? Adakah akhbar inilah yang diberi secara percuma di sekolah-sekolah rendah?


Kisah sensasi

Siapa yang tak kenal dengan beberapa akhbar tempatan yang sering menyiarkan tajuk-tajuk panas di setiap muka depan akhbar mereka. Bahkan memang bukan menjadi satu kebetulan, setiap hari ada sahaja kisah-kisah sensasi berlaku di negara ini untuk dimuatkan ke dalam akhbar. Ini diakui sendiri oleh seorang editor akhbar tersebut dalam satu rancangan temu bual di salah satu stesyen radio popular yang menurutnya memang disengajakan untuk meletak cerita-cerita sedemikian untuk menarik minat para pembaca untuk membeli akhbar mereka. Tidak hairanlah apabila kita sering melihat trend akhbar-akhbar utama yang berlumba-lumba meletak cerita dengan tajuk-tajuk sensasi, sedangkan isinya agak merapu dan entah benar atau tidak ceritanya. Malah, memang terdapat bukti mereka sengaja mengada-adakan cerita.


Berunsur lucah

Kisah sensasi tersebut pula sering dikaitkan dengan unsur-unsur menggoda, mengiurkan serta mengghairahkan. Masakan tidak, setiap kali menjenguk kedai, ternyata gambar-gambar wanita berposing sana sini mendominasi muka depan kebanyakan akhbar yang kadang kala dikaburi dengan pelbagai tajuk berunsur ‘nasihat’. Malah jika hanya ingin membelek ruang sukan sekalipun sudah tidak ada jaminan selamat buat anda daripada melihat perkara tidak sepatutnya. Pihak akhbar dengan sengaja menonjolkan gambar-gambar pemain wanita sedang tunduk menanti balingan pukulan bola pihak lawan yang kebanyakannya diletakkan hampir sebesar saiz separuh muka surat! Ditambah pula dengan selingan iklan-iklan yang menonjolkan wanita-wanita berpakaian ketat dengan pelbagai promosi, perkhidmatan dan sebagainya. Barangkali mereka sudah memahami ‘kelemahan’ lelaki dan ini membuatkan kita berfikir bahawa tidak perlu lagi nampaknya bersusah payah mengeluarkan duit mahal membeli majalah "playboy" yang berada di pasaran gelap sedangkan di pasaran terbuka pun sudah berlambak koleksi gambar sedemikian rupa.



Di manakah fungsi akhbar?

Jikalah benar apa yang dicoret ini, maka kita tertanya-tanya apakah fungsi sebenarnya akhbar pada masa kini? Apakah hanya sekadar mengejar title akhbar nombor satu negara sahaja sedangkan segala kandungan isi merangkumi tanggungjawab sosial terhadap masyarakat diabaikan begitu sahaja? Secara asasnya anda membongkar kisah kejatuhan moral masyarakat, tetapi pada hakikatnya laporan yang anda tulis terus menerus memburukkan lagi keadaan, ditambah meningkatkan lagi remaja terangsang, berkhayal dan seterusnya membuka lorong mendekati maksiat!

Jikalah keuntungan diutamakan, kita teringat satu kisah si penggali kubur pencari makan, gembira tak terkata apabila setiap kali seorang demi seorang meninggal di kampungnya. Adakah si penggali kubur itu dapat disamakan dengan pihak akhbar yang menanti berlakunya peristiwa-peristiwa kontroversi untuk dimuatkan dalam akhbar mereka? Kita harap tidak. Dan amat menyedihkan sekali apabila memikirkan fungsi akhbar pada hari ini amat jauh sekali untuk dibandingkan dengan akhbar-akhbar sebelum merdeka suatu ketika dulu seperti “Warta”, “al-Imam” dan sebagainya.


Seruan buat akhbar

Kita menyeru akhbar-akhbar kita supaya disamping mencari keuntungan, janganlah sesekali mengabaikan tanggungjawab sosial. Anda melaporkan berita “Kes rogol kian parah”, tetapi disebelah ruang berita tersebut tersiar pula iklan memperagakan susuk tubuh wanita. Anda melaporkan berita “Artis wanita paling seksi”, sedangkan di ruang sebelahnya menceritakan tentang “Indahnya hidup bersyariatkan Islam”. Ternyata amat bahayalah buat mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan, tetiba terangsang dek pekena dajal oleh akhbar sedemikian rupa, maka seringlah terjadinya insaf ekpress.

"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui." (An-Nur : 19)

Jikalah pihak akhbar masih teruskan sikap sebegini, kita cadangkan supaya mereka menklafikasikan akhbar mereka dengan tanda 18+ untuk dijual secara tertutup, atau lebih baik ditanda sebagai ‘only for non-muslims’. Jika tak mampu, elok dibakulsampahkan sahaja akhbar-akhbar sebegini!

Sunday, February 13, 2011

Valentine's day vs Maulud Nabi

Posted by salafus-sholih at 9:21 PM 42 comments

Saya ditanya untuk memberi sedikit ulasan mengenai Valentine’s day dan Maulud Nabi. Kedua-dua sambutan ini kebetulan belangsung pada hari bersebelahan. Jadi, apabila ditanya antara kedua-dua tarikh tersebut, yang mana patut kita sambut? Saya yakin lebih 90% daripada kita akan jawab Maulud Nabi. Saya tak mahu berbincang secara khusus perihal mengapa kita patut menentang Valentine’s day atau mengapa kita patut meraikan Maulud Nabi. Sudah ramai yang membincangkannya, anda boleh mencarinya. Cuma saya ingin memberi sedikit ulasan tentang semangat orang kita sekarang yang begitu teguh berkempen tentang kedua-dua perihal ini.



Tentang Valentine’s day, alhamdulillah semakin ramai mendapat info tentang kesedaran di sebalik sambutan songsang ini. Kesepakatan kita menentang sambutan ini bukan sahaja digempur oleh para ulama, ustaz, ustazah, malah mereka yang bercouple, pasangan boyfriend dan girlfriend atau kekasih-kekasih di luar sana turut turun padang menyertai kempen membanteras sambutan ini. Amat menakjubkan bukan? Dengan menyertai kempen anti-Valentine's day ini, adakah ini bermakna mereka yang bercouple akan bersetuju untuk duduk diam di rumah, tidak berdating dan tidak akan memberi bunga ros kepada pasangan mereka pada tarikh tersebut? Bagaimana pula setelah tamat tarikh keramat tersebut, adakah mereka akan kembali bersambung menikmati kehidupan sebagai kekasih semula? Ini yang kita mahu mereka fikirkan.

Mengenai Maulud Nabi pula, apabila tiba tarikh tersebut barulah kita sibuk menyebut nama baginda Rasulullah SAW. Kita mula kembali masuk ke masjid mendengar ceramah perjuangan baginda. Kasih sayang terhadap baginda ditunjukkan menerusi semangat berarak di jalanan sambil berselawat dengan kuatnya. Namun amat malang juga, selang sehari selepas itu, semangat itu entah hilang ke mana. Sunnah baginda pula dibuat tidak endah. Adakah cinta kita pada Rasulullah SAW hanya layak diberikan pada tarikh kelahiran baginda sahaja? Mengapakah kita sibuk berarak yang entah kita tak tahu sunnah atau tidak, sedangkan sunnah yang dituntut lain kita tinggalkan sama sekali?

Berdasarkan persoalan-persoalan yang diberikan pada kedua-dua situasi di atas, saya ingin mengajak anda berfikir, mengapakah tindakan kita hanya dilakukan bermusim sahaja? Apakah tuntutan agama hanya khusus terhad pada satu-satu hari tertentu sahaja? Alangkah indahnya jika semua orang menganggap setiap hari adalah Valentine’s day dan setiap hari juga adalah Maulud Nabi. Maka setiap hari juga kita menentang segala gejala songsang membabitkan pasangan kekasih, dan setiap hari juga kita sentiasa menjunjung baginda Rasulullah SAW dengan sentiasa melaksanakan sunnah baginda. Mulai sekarang, ubah cara kita berfikir!

Monday, February 7, 2011

Bersosial ikut pintu belakang

Posted by salafus-sholih at 5:58 PM 19 comments

Apabila anda mendengar perkataan ‘bersosial’, apakah yang terlintas di fikiran anda? Mat dan minah rempit bergaul bebas di tepi jalan raya? Mat punk berpeleseran di tepi kaki lima kompleks membeli belah?


Apabila anda terdengar perkataan ‘bersosial’, apakah lagi yang masuk di kepala otak anda? Lelaki dan perempuan menari di pusat kelab malam sambil memegang botol arak? Para pelacur jalanan yang sedang memanggil klien-klien mereka?





Definisi ‘bersosial’ yang tersasar

Inilah pemikiran yang masuk ke kepala otak kita pada masa kini. Kita memberikan kefahaman yang begitu sempit buat perkataan ‘bersosial’. Entah mengapa kita berfikir sedemikian, barangkali kerana kita sering disogokkan dengan gambaran media massa yang memaparkannya sebagai kehidupan mat rempit, gangster, pelacur, kaki kelab dan lain-lain lagi. Kisah seperti ini sangat dominan dipersembahkan dalam drama dan filem seperti ‘Rempit’, ‘Bohsia’, ‘Gangster’ dan beberapa judul yang lain.

Gambaran sebegini sebenarnya adalah terlampau ‘terkehadapan’. Dan apabila ramai menjadikan ini sebagai ukuran, maka tidak hairanlah masyarakat langsung tidak rasa bersalah apabila terbabit dengan gejala ‘bersosial’ yang sebenar. Jadi, untuk berlaku adil, lebih baiklah kita kembali kepada definisi sosial yang sebenar tanpa dipengaruhi sentimen tertentu. ‘Bersosial’ menurut Kamus Dewan bererti bercampur gaul (biasanya dimaksudkan antara lelaki dengan perempuan). Menurut definisi ini, tidak dinyatakan pula seorang yang perbezaan darjat dan kedudukan seseorang samaada golongan ilmuan mahupun sampah masyarakat.



Kehidupan ‘bersosial’ yang sebenar

Setelah anda memahami definisi ‘bersosial’, kita hendak fokus kepada kehidupan di kalangan pelajar kampus, yakni pelajar kolej dan universiti. Amat jarang sekali ‘bersosial’ dikaitkan dengan mereka, kerana mereka berselindung di sebalik kedudukan terpelajar mereka. Jika kebanyakan mat rempit dan bohsia di luar sana memang terang-terangan ‘bersosial’ di sebalik kejahilan dan persekitaran kotor mereka, anda akan dapati pula pelajar kampus ‘bersosial’ di sebalik diploma atau ijazah mereka dengan persekitaran yang suci!

Mengapa kita berkata begitu? Cara hidup kebanyakan orang di kampus memang amat menggusarkan. Jikalaulah mak bapak tahu kehidupan sebenar anak-anak mereka di sana, nescaya mereka takkan merelakan anak-anak mereka pergi membawa segulung diploma atau ijazah. Biarlah anak-anak membantu menoreh getah atau menanam padi daripada hanyut dengan kehidupan 'bersosial' begitu. Mungkin sewaktu di kampung halaman, mereka menyelia penuh kawalan terhadap anak-anak mereka, namun apabila berada di kampus, anak-anak mereka mula memberontak, menunjukkan wajah sebenar.

Kehidupan di kampus bukan sekadar di dalam kelas atau dewan kuliah. Percayakah anda, segala pembelajaran tadi hanya meliputi tidak lebih daripada 10% dan selebihnya adalah kehidupan 'bersosial'nya. Tambah-tambah lagi, kebanyakan kolej dan universiti membuka pintu 24 jam, 7 hari seminggu, maka inilah peluang terbesar buat mereka untuk menikmati kehidupan sebenar. Mereka bagaikan terkena kejutan budaya, sering mengadakan aktiviti mingguan secara beramai-ramai, tidak kira bercampur lelaki dan perempuan. Pada minggu ini mereka berkira-kira hendak ke I-city, kemudian minggu depan bercadang-cadang ke Bukit Broga, kemudian minggu lagi satu pula berjanji-janji untuk berkelah ke Sungai Gabai (mandi bersama?). Trend ini menjadi ikutan apabila koleksi gambar-gambar mereka, tanpa segan silu dijaja ke dalam facebook, blog dan sebagainya untuk mempromosikan segala bagai kehidupan 'bersosial' mereka.

Di kalangan mereka yang keluar beramai-ramai tadi, wujud hubungan kasih sayang yang terjalin secara 'tidak sengaja'. Maka sesetengah daripada mereka terbuka pintu kearah bercouple atau kadang-kadang mereka namakan sebagai buddy, abang angkat, kakak angkat, adik angkat dan sebagainya. Ini merupakan pengalaman yang wajib buat kebanyakan pelajar kampus dan sesiapa yang tidak bercouple dikira ketinggalan zaman. Pasangan couple ini disamping keluar secara beramai-ramai, mereka turut inginkan privasi keluar secara berpasang. Pada mulanya mereka berdating adalah atas nama study group, tetapi lama-kelamaan akan menjurus ke bilik hotel!

Maka terkeluarlah persoalan mengapa aktivis masyarakat terlalu menumpukan perhatian ke atas mat dan minah rempit untuk mengatasi masalah gejala pembuangan bayi? Maka tak perlu nak dihairankan, sedangkan pelajar kampus adalah golongan terpelajar yang tahu selok belok bagaimana hendak mencegah kehamilan, maka jarang sekali mereka meninggalkan bukti (bayi)! Mereka juga bijak mencari port baik, maka sekali lagi JAIS dan lain-lain jabatan agama jarang dapat mengesan mereka. Jadi, yang selalu menjadi ‘kambing hitam’ adalah mat dan minah rempit yang sememangnya dungu.



Muhasabah diri sendiri

Maka, sewajarnya kita semua menilai kembali aktiviti ‘bersosial’ kita selama ini. Kita bukanlah ingin terus anti ‘bersosial’, hanya duduk di dalam bilik untuk menelaah buku sahaja. Malah, sememangnya fitrah manusia memiliki keharusan untuk bergaul sebagaimana Allah SWT telah berfirman:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya)” (Surah al-Hujurat: 13)


Tetapi sudah menjadi keperluan setiap pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dibatasi oleh ketetapan syarak. Pergaulan hendaklah atas dasar keperluan dan kepentingan. Jadi, pertembungan sewaktu kuliah, kelas dan perbincangan memang tidak dapat dielakkan. Mungkin ada sedikit kelonggaran diberikan buat penemuan yang jarang berlaku atas alasan reunion dan sebagainya. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan kebatasan pergerakan para muslimah:

“Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

"Janganlah kamu menegah perempuan keluar untuk pergi ke masjid dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka." (Hadis Riwayat Ahmad).

"Solat Jumaat adalah hak yang diwajibkan keatas setiap orang Islam kecuali empat : Hamba sahaya, wanita, kanak-kanak dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Daud)


Apabila pertembungan itu berlaku atas keperluan dan kepentingan yang tertentu, maka etika pergaulan hendaklah dipatuhi. Masing-masing seharusnya memainkan peranan dalam menjaga penglihatan dan kehormatan mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

“Apabila kamu minta dari perempuan akan sesuatu seperti alat-alat yang digunakan di dalam rumah, baldi atau pinggan atau belajar ilmu atau minta sesuatu fatwa maka hendaklah kamu minta itu dari balik tabir iaitu dari belakang tabir iaitu dari suatu sekatan di antara kamu dengan perempuan itu" (Surah al-Ahzab: 53)

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka... dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka" (Surah an-Nur: 30-31)

"Dan janganlah kamu berkata lembut dan manja serta melunakkan suaramu ketika berbicara sehingga menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah dengan perkataan yang baik." (Surah al-Ahzab: 32)


Selepas ini, disamping anda menyumpah seranah mat rempit, pengkid, pelacur dan sebagainya, tunduk sebentar dan palinglah kepada diri anda. Adakah anda serupa dengan mereka?



*’Bersosial’ juga boleh diertikan sebagai pergaulan bebas

Saturday, January 15, 2011

Rintihan umat Islam: Untuk berapa lama lagi?

Posted by salafus-sholih at 9:36 PM 29 comments
Apabila sebut pasal 'khilafah', tidak ramai yang berminat hendak mengambil tahu. Perkataan 'khilafah' adalah asing buat kita, malah mungkin ada yang baru pertama kali dengar. Bagaimana kita hendak fokus kepada persoalan khilafah, sedangkan umat Islam yang lain terlalu sibuk mengejar cita-cita dan kerjaya, asyik menggelamun mengidam kekasih ideal, mengagungkan hiburan, dan lain-lain lagi.

Maka di sini, luangkanlah sedikit masa (35 minit), untuk memahami apakah itu khilafah dan mengapa soal khilafah adalah amat penting buat kita semua, hatta untuk mazhab syiah sekalipun tidak terkecuali. Memang sengaja kita bawakan dari segi video kerana lebih mudah memahami disamping dapat mengatasi sikap kita yang malas membaca artikel berjela-jela.

Video ini dipecahkan kepada beberapa bahagian, antara point-point yang dapat kita highlight adalah seperti berikut: punca kejatuhan Empayar Uthmaniyah, kesan ketiadaan khilafah ke atas keseluruhan umat Islam dan saranan buat keseluruhan umat Islam.

*Kredit untuk Hizbut Tahrir Malaysia




Monday, January 10, 2011

Dosa 24 jam di facebook [upgrade version]

Posted by salafus-sholih at 3:09 PM 154 comments
Facebook merupakan sebuah laman sosial yang paling menonjol setakat ini. Namun sedarkah anda di sebalik penggunaan facebook, terdapat dosa yang berlegar-legar tanpa kira masa dan tempat, yakni DOSA 24 JAM?!!









Sunday, January 9, 2011

Dari ‘grand dinner’ bertukar ‘grand mungkar’

Posted by salafus-sholih at 8:03 PM 66 comments

‘Fenomena masquerade’ pernah melanda negara kita.

Tahukah anda masquerade berasal dari pesta topeng yang dijalankan secara turun temurun oleh kelompok bangsawan eropah pada satu ketika dulu? Apakah kaitan pesta topeng ini dengan festival St. Stephen’s Day yang diraikan pada 26 Disember setiap tahun?



----------

Okey, kita sudah memasuki tahun baru, maka kebanyakan institusi pendidikan di negara kita semestinya sudah melangkah ke semester kedua. Pada waktu ini, sudah pasti kebanyakan organisasi pelajar pulun menyiapkan satu majlis yang dinamakan grand dinner. Eloklah kita berbincang perkara ini terlebih awal bagi memastikan mereka tidak tersengaja menukarkan majlis mereka menjadi ‘grand mungkar’.

Buat sesiapa yang belum tahu, grand dinner di universiti, kolej dan juga terdapat di sebahagian sekolah merupakan satu majlis untuk meraikan pelajar-pelajar senior yang bakal meninggal pembelajaran di institusi tersebut untuk suatu kos, fakulti atau kelas. Pada luaran, majlis ini tampak molek tetapi malangnya majlis ini dicemari dengan pelbagai anasir ‘tambahan’ yang tak sepatutnya.


Tema

Tema menjadi perkara wajib untuk dibincangkan dalam suatu grand dinner. Selalunya yang menjadi pilihan selalunya adalah yang ‘unik’ dan ‘luar biasa’. Tema seperti retro, english atau black and white mungkin lebih kontemporari berbanding tema batik, tradisional, ketimuran dan sebagainya. Tema sebegini tidak menjadi masalah namun yang hendak kita bincangkan di sini adalah tema yang lahir akibat daripada pemikiran yang terlebih ‘kreatif’. Tema sebegini yang sering dipilih sejak akhir-akhir ini agak merapu dan secara ‘kebetulan’ pula menyamai penampilan kaum kuffar. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW.:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia termasuk dari mereka”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Pakaian

Juga akibat daripada tema yang terpilih terlampau agak unik, sudah menjadi satu kerja pula hendak memadankan dengan pakaian. Maka dengan itu, ramai bersusah payah hendak mencari pakaian yang sesuai, kononnya ingin mengikut tema yang dikehendaki. Dan apabila ‘terbeli’ pakaian yang terlampau unik, dengan harga beratus-ratus, tambah pula ianya hanya boleh dipakai semasa grand dinner sahaja, bukankah ia jatuh dalam kategori membazir?

Sekali lagi, muslimah tidak terlepas daripada menjadi mangsa. Muslimah yang sebelum ini terkenal dengan tudung labuhnya, mula menyingkat sedikit tudungnya. Muslimah yang sebelum ini berpakaian serba longgar, memilih pula untuk berpakaian ketat. Muslimah yang agak janggal bermekap, mula berjinak-jinak dengan mekapnya. Bagi mereka inilah peluang yang susah ditemui, apa salahnya sekali sekala, setahun sekali pula. Tidak syak lagi, walau apa pun alasan, muslimah yang mengenakan perhiasan keterlaluan sebegini untuk dipertunjukkan pada orang awam jatuh pada kategori tabarruj. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Dan paling menggusarkan adalah mereka yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan ini sering menjuarai anugerah yang mereka panggil King & Queen. 'Terima kasih' buat mereka yang menggalakkan orang ramai berpakaian sedemikian.


Persembahan

Nasyid? Dikir barat? Ahhh, lupakan sahaja kerana agak ketinggalan zaman. Lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk, maka sudah tentu persembahan yang boleh diterima semua kaum menjadi pilihan. Akibat daripada sikap terlebih bertoleransi ini, maka nyanyian, joget dan tarian menjadi tidak menjadi masalah buat mereka. Lebih-lebih kaum perempuan diberi ‘tiket’ untuk menunjukkan bakat terpendam mereka sekaligus mampu menarik perhatian ramai. Buktinya, apabila tamat persembahan, satu dewan gamat bersorak tanda restu mereka. Padahal Allah SWT telah berfirman dengan jelas sekali:

“Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)

Berdasarkan ayat di atas , maka suara wanita yang sengaja dilembutkan dan dimerdukan serta dimanjakan , hukumnya adalah tidak boleh diperdengarkan kepada khalayak lelaki apatah lagi jika ianya boleh membawa kepada fitnah dan membangkitkan nafsu. Tampilnya muslimah untuk menyanyi dan menari di pentas bererti menampilkan dirinya untuk memfitnah atau difitnah, juga bererti menempatkan dirinya dalam perkara-perkara yang haram.


Sesi bergambar

Sedangnya berlangsungnya majlis, pasti ada selitan bergambar atau dibuat khas sesi bergambar pada penghujungnya. Sebenarnya tidak menjadi masalah sekiranya hendak bergambar-gambar demi kenangan. Tetapi yang tidak moleknya, apabila mereka ini bergambar ‘berlebih-lebihan’ dan ini mencetuskan kebimbangan. Sesetengah daripada mereka di antara lelaki dan perempuan sudah tidak ada ‘dinding’, bagaikan suami isteri pula. Sudahlah bergambar dengan pakaian ter’over’, mendedah aurat satu hal, kemudian menjadi rutin pula menyebarkan segala bagai gambar kenangan ke dalam rangkaian sosial seperti facebook, blog dan sebagainya. Kita bimbang apabila individu terbabit tergolong dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib seperti mana disebut oleh Rasulullah SAW dalam suatu hadis:

“Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahakn ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang menutup keaibannya” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



----------

Jelas sekali, grand dinner yang selalu kita bangga-banggakan selama ini lengkap sebagai satu pakej yang mengundang ke jalan kemaksiatan. Amat menghairankan sekali, grand dinner sebegini yang disukai ramai sehingga tanpa segan silu diberi taraf 5 bintang. Kita tidak pernah cuai dalam menunaikan solat, tidak pernah ketinggalan berjemaah ke masjid, senantiasa berpakaian menutup aurat, tetapi apabila tibanya grand dinner, kita hancur sama sekali.

Jadi apa yang disimpulkan di sini adalah kita sebagai umat Islam perlulah bertindak menghayati segala garis panduan yang ditetapkan Allah dan RasulNya dalam kesemua aspek kehidupan. Penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya.

Maka, selepas ini kita nilaikan semula sebarang grand dinner yang hendak kita anjurkan. Kita hendak meraikan para senior, bukan hendak meraikan maksiat. Kita hendak melangsungkan grand dinner, bukan grand mungkar! Sekian.

Friday, December 31, 2010

Drama, filem dan wayang

Posted by salafus-sholih at 3:33 PM 21 comments

Pada hari ini, hampir mustahil untuk berjumpa dengan isi rumah yang tidak punya sekurang-kurangnya sebuah televisyen (TV). Penggunaan TV telah dibahas panjang oleh para ulama, dan tidak perlu rasanya untuk menghurai secara lanjut. Cukuplah kita fokus kepada pendapat yang paling ringan, yakni mengatakan penggunaan TV adalah HARUS. Semua sedia maklum bahawa alat teknologi ini sekadar bertindak sebagai suatu alat pengarahan dan hiburan, maka hal-ehwal setiap alat ini boleh dilihat sama ada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Ia ibarat pedang, ditangan mujahid ia digunakan untuk berjihad manakala ditangan perompak pula digunakan untuk kejahatan.

Ini yang disokong oleh ulama kontemporari, Syeikh Yusof Qaradhawi menerusi bukunya, Al-Halal Wal Haram Fil Islam. Namun pandangannya itu juga disertai dengan beberapa SYARAT yang perlu dipatuhi. Tetapi amat malang sekali, umat Islam kini mengambil kesempatan terlampau mengambil mudah dalam soal ini sehingga meringan-ringankan syarat yang ditetapkan. Kita mahu berbincang dan bertanyalah kepada diri sendiri, sejauh manakah kita mematuhi syarat yang ditetapkan di mana penggunaannya dilakukan dalam kerangka yang dikatakan harus, tidak berubah kepada haram?


Penayangan aurat

Sudah menjadi lumrah, setiap rancangan di TV pasti tidak terlepas daripada menunjukkan pendedahan aurat. Ini termasuklah slot iklan, rancangan berita sekalipun, malah rancangan yang dicanang-canangkan sebagai ‘drama islamik’ juga tidak terlepas dalam soal ini. Apakah dibolehkan untuk menonton pendedah aurat ini? Menurut fatwa ulama al-Azhar, hukum melihat aurat di kaca TV adalah DIHARUSKAN dan ini disokong juga oleh fatwa lajnah ulama Kuwait. Namun, ianya disyaratkan tidak mengandungi elemen berlebih-lebihan sehingga merangsang nafsu. Kita kira dengan mengambil pandangan para ulama ini, adalah tidak muktamad lagi kerana turut disertai dengan syarat lanjut. Kita akan terus bincang dengan lebih teliti.


Elemen maksiat

Adegan merokok, minum arak, pergaulan bebas, dan lain-lain lagi sering dijadikan selitan sebagai pelengkap suatu rancangan drama dan filem. Walaupun sesetengah plot mempamerkan pengajaran namun kebanyakan plot lagi mempromosikan secara langsung kemaksiatan tesebut. Lihatlah lambakan filem Hollywood tidak kira genre aksi, seram, cinta mahupun lain-lain, pasti akan mempamer gaya hidup sosial mereka. Drama korea yang digilai oleh majoriti kaum wanita pula penuh dengan ketaksuban kisah cinta. Tidak banyak pengajaran terkandung melainkan mempromosikan sebuah kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang belum berkahwin, ditambah dengan plot konflik yang melanda mereka dan akhirnya diakhiri dengan kejayaan penyatuan mereka di penghujungnya (Adakah SEKS?). Mudah bukan jalan ceritanya yang kini boleh dihafal skrip oleh budak sekolah rendah sekali pun.


Merangsang nafsu

Tak perlu nak dihurai panjang juga, kerana sudah dihuraikan dalam artikel 'lelaki dan blue' sebelum ini. Semua orang pasti tahu wanita sering dieksploitasi untuk tujuan meningkatkan rating drama atau filem mereka. Adegan-adegan jijik wajib untuk diselitkan dalam setiap filem Hollywood. Paling tidak pun, drama dari jepun sering menjaja seorang watak heroin berwajah menggoda. Nah, tanyalah diri anda sejujurnya, mampukah anda mengawal nafsu melihat filem atau drama sebegini? Tidak ternaikkah sedikut pun nafsu seketika watak tersebut beraksi? Dan kaum wanita juga tidak terlepas. Tidak perlu menipu diri, masakan gambar Ikuta Toma dijadikan gambar profile di facebook, huh?


Campuran lelaki dan perempuan

Tidak cukup menonton TV di rumah, sudah menjadi trend kini untuk masyarakat kita menonton wayang. Menonton wayang umpama gaya ‘menonton TV’ secara berskala besar, yakni menonton secara beramai-ramai. Maka keadaan sekeliling turut memainkan peranan dalam menentukan hukumnya. Sebagai tambahan daripada syarat yang dibincangkan tadi, Syeikh Yusof Qaradhawi menambah, perlu elak dari bergaul di antara lelaki dan perempuan ajnabi dan lebih-lebih lagi menonton di dalam keadaan gelap! Apabila melihat fenomena menonton wayang pada hari ini, apakah anda masih berfikir ianya dalam kerangka syarat yang ditetapkan?


-------

Sudah tiba masanya kita semak kembali penggunaan TV dan wayang oleh kita sendiri. Kita bukan menyuruh anda untuk mencampak TV ke sungai, tetapi tidak mahu menjadikan teknologi sebagai pemudah cara untuk melakukan dosa-dosa besar yang lain. Jadi, sudah menjadi satu keperluan untuk setiap orang mempunyai suatu ‘filter’ yang mampu bertindak memilih rancangan yang mampu memanfaat diri dan membuang rancangan yang membawa kemudaratan. Ini yang ditekankan oleh Syeikh Yusof Qaradhawi lagi,

Setiap insan itu adalah ibarat mufti bagi dirinya sendiri. Ia berupaya menutup pintu keburukan dan kerosakan terhadap dirinya. Jika tidak berupaya menghalang dirinya, maka lebih baik tidak terjebak dengan sistem yang bakal membuka pintu kejahatan!


 

jalan salafus sholih Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez Distributed by Deluxe Templates