Jersi lambang salib

Piala dunia telah pun melabuh tirai lebih sekian lama. Dalam penglihatan sepanjang kejohanan tersebut, sudah menjadi trend bagi remaja-remaja kini untuk memakai jersi-jersi pasukan pilihan mereka. Namun, tidak sedarkah mereka terdapat berlaku syirik secara tidak disedari...

TABARRUJ di facebook

Facebook merupakan laman sosial kegilaan ramai buat masa kini. Namun di sebalik penggunaan facebook, tanpa kita sedari pelbagai dosa berlaku di kalangan pengguna.

Betulkan tudung anda

Pada hari ini, dapat kita perhatikan ramai muslimah mulai sedar akan kewajipan mengenakan tudung tetapi sayangnya kebanyakan dari mereka masih belum mengenakan tudung yang benar-benar sesuai dengan kehendak syariat.

Dari 'setan' jadi ustaz

Azmil Mustapha adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan ‘penghijrahan’ daripada kehidupan yang penuh ‘lagha’ kepada pengabdian diri kepada Allah. Ikuti kisah beliau

Lelaki dan blue

Blue, suatu istilah yang tak perlu diperkenal lagi. Ianya cukup sinonim dengan kaum lelaki pada masa kini. Mereka tidak kira pelajar sekolah, kolej dan universiti, baik penganggur dan pekerja awam, kesemuanya pasti cukup mengenalinya.

Grand dinner mungkar

Tahukah anda masquerade berasal dari pesta topeng yang dijalankan secara turun temurun oleh kelompok bangsawan eropah pada satu ketika dulu? Apakah kaitan pesta topeng ini dengan festival St. Stephen’s Day yang diraikan pada 26 Disember setiap tahun?
Showing posts with label feqah. Show all posts
Showing posts with label feqah. Show all posts

Wednesday, May 18, 2011

Renungan buat pendengar lagu dan muzik

Posted by salafus-sholih at 7:51 AM 50 comments

Lagu dan muzik mungkin tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita pada masa kini. Di mana-mana sahaja anda berada pasti tidak terlepas mendengarnya. Hatta, ada yang menjadikan lagu dan muzik sebagai perkara utama dalam kehidupan sehingga menjadikannya sebagai kerjaya hidup dan tak kurang yang meleleh air mata dek kerana terlampau menghayati lagu-lagu cintan yang mengguris hati dan menggamit kenangan lampau.

Kita bukan hendak berbicara tentang hukum hakam lagu atau muzik, perbahasan mengenai ini mungkin sudah selesai lama yakni berlaku khilaf pandangan ulama tentang ini. Jika anda berpegang kepada keharusan mendengar lagu dan muzik, maka kita di sini ingin bertanya kepada anda, sejauh manakah anda dapat mengawal diri sendiri daripada terhimpit kepada kelalaian yang melampau sehingga menghancurkan roh-roh Islam yang ada pada diri? Maka renung-renungkanlah.

***



Anda menghabiskan masa yang banyak dengan mendengar lagu dan muzik, jadi bilakah anda mendengar Al-Qur’an?

Allah berkata dalam Al-Qur’an:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
«Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan untuk Jahannam itu banyak daripada jin dan manusia. Mereka mempunyaï hati-hati yang mereka tidak memahami dengannya, dan mereka mempunyaï mata-mata yang mereka tidak melihat dengannya, dan mereka mempunyaï telinga-telinga yang mereka tidak mendengar dengannya. Mereka itulah seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lalai» [Al-A`raf: 179]

At-Tabariy menyebut ta’wil ayat ini sebagai:
وكذلك قوله:(ولهم آذان لا يسمعون بها)، آيات كتاب الله، فيعتبروها ويتفكروا فيها، ولكنهم يعرضون عنها
Dan demikian kata-Nya: «Dan mereka mempunyaï telinga-telinga yang mereka tidak mendengar dengannya» ayat-ayat Kitabu Llah, dan mengambil pengajarannya dan berfikir tentangnya, tetapi mereka menjauhi daripadanya.



Anda menghabiskan usia anda untuk menghafal dan berhibur dengan lagu dan muzik, tetapi tidakkah anda membaca ayat berikut?

Allah berkata dalam Al-Qur’an:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
«Orang-orang yang beriman dan yang tenang hati-hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuïlah bahawa dengan mengingati Allah ia akan menenangkan hati-hati» [Ar-Ra`d: 28]



Anda berhujah bahawa ia dibenarkan selagi tidak melalaikan. Tetapi tidakkah anda terlalai daripada ayat Allah di bawah ini?

Allah berkata dalam Al-Qur’an:
أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ * أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
«Mereka itulah orang-orang yang Allah melaknat mereka, dan Dia memekakkan mereka dan membutakan penglihatan mereka. Tidakkah mereka meneliti Al-Qur’an? Atau terdapat di atas hati-hati mereka kunci-kuncinya?» [Muhammad: 23-24]



Tidakkah lagu dan muzik itu melalaikan anda daripada meneliti dan memahami Al-Qur’an? Sedangkan Allah menyuruh mengingati-Nya?

Allah berkata dalam Al-Qur’an:
وَاذْكُر رَّبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالإِبْكَارِ
«Dan ingatlah Tuan kamu banyak-banyak, dan bertasbihlah ketika petang dan pagi» [Ali `Imran: 41]



Jika anda hanya mendengar satu atau dua lagu sehari, yang mungkin memakan hanya lima hingga sepuluh minit, maka itu tidaklah menjadi suatu kesalahan. Namun, jika earphone anda sentiasa di telinga, dengan iPod atau mp3 player anda sentiasa di sisi, tidakkah itu melalaikan anda daripada-Nya?

Allah berkata dalam Al-Qur’an:
إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
«Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan dan hati, setiap itu – terhadapnya – akan disoal» [Al-Isra’: 36]



Maka apakah jawapan anda terhadap soalan itu nanti?

WaLlahu a`lam.





Sunday, April 3, 2011

Tarian poco-poco: Antara haram dan harus

Posted by salafus-sholih at 1:52 PM 20 comments
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 24-26 Januari 2011 lalu telah memperakukan supaya tarian atau senaman poco-poco diharamkan. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu suratnya mengatakan tarian poco-poco adalah haram atas asas ianya mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ianya sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian [1].

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu kenyataan pula
mengatakan tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah. Jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah, atau dicampuri perbuatan yang salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan [2]. Pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim pula hampir senada dengan bekas Mufti Perlis tersebut dengan mengatakan tarian poco-poco hanyalah sejenis tarian berbentuk senaman serta tidak perlu diharamkan di seluruh negara. [3]




Ulasan


Saya ingin memberi sedikit ulasan tentang pertelingkahan mengenai pandangan tarian poco-poco ini. Setelah diteliti pandangan-pandangan di atas, perbezaan pandangan hanyalah berkait dengan sama ada tarian poco-poco dipengaruhi dengan akidah yang silap yakni kepercayaan agama Kristian atau tidak. Dr. Mashitah Ibrahim memetik sebagai berkata tarian poco-poco yang diamalkan di setiap negeri mungkin berbeza antara satu sama lain. Jadi, jika kita terima alasan yang diberikan oleh beliau, maka kita boleh membuat misalan bahawa tarian poco-poco di negeri Perak berkait rapat dengan kepercayaan agama Kristian sedangkan di negeri-negeri lain pula tidak. Kita mungkin boleh bertolak ansur dengan perbezaan pandangan ini, tetapi bagaimana pula dengan batasan perbuatan yang salah untuk dikaitkan dengan tarian poco-poco seperti mana yang ditekankan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin?

Fenomena tarian poco-poco yang kita kenal pada hari ini bukanlah satu aktiviti yang dilakukan di kawasan tertutup di lingkungan rumah masing-masing, tetapi ianya dilakukan secara terbuka di kawasan tanah lapang yang disertai oleh segelinap masyarakat tidak kira lelaki mahupun perempuan. Ianya terus dipraktikkan secara meluas tidak kira di sekolah, kolej, universiti mahupun agensi-agensi kerajaan sendiri sehingga sebahagian menjadikan tarian tersebut sebagai rutin harian.

Anda dapat bayangkan bagaimana disebalik ramai yang memperagakan tarian poco-poco, gerak geri wanita yang lincah itu diperhatikan oleh sebilangan lelaki. Hatta mereka yang berbaju dan bertudung labuh pun tidak akan terlepas untuk diperhatikan di mana ada kemungkinan tudung mereka terselak mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya akibat daripada pergerakan aktif ini. Ini tidak kira lagi buat wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna yang berbaju ketat dan berseluar legging. Tambah-tambah pula, apabila pengajar tarian poco-poco kebanyakan di kalangan wanita ini berdiri di pentas kononnya ingin memberi tunjuk ajar, tetapi entah apa yang hendak ditayangnya. Allah telah berfirman:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (an-Nur ayat 31)

Jadi, buat mereka yang mungkin ingin mengikut pandangan yang lebih ringan tentang hukum tarian poco-poco ini, hendaklah mereka menilai semula bagaimana sebaik cara untuk memperagakan tarian ini dalam lingkungan patuhan syarak yang ditetapkan tanpa mengundang pelbagai fitnah. Saya lebih cenderung untuk mengikut pendapat Ustaz Abu Haseef supaya meninggalkan perkara yang meragukan dan syubahat memandangkan tarian poco-poco ini adalah suatu tarian yang meragukan kerana tidak diketahui siapakah pemilik budaya sebenar sama ada ianya tarian agama ataupun tarian budaya. Jika kita berbalik semua kepada kaedah yang diajar oleh Nabi SAW, insyaallah akan selamatlah maruah agama dan diri kita [4]. Wallahualam




[1] Perak haramkan tarian poco-poco
[2] Tarian poco-poco secara asasnya harus

[3] Mashitah: hanya senaman

[4] Kenapa poco-poco haram?

Monday, February 7, 2011

Bersosial ikut pintu belakang

Posted by salafus-sholih at 5:58 PM 19 comments

Apabila anda mendengar perkataan ‘bersosial’, apakah yang terlintas di fikiran anda? Mat dan minah rempit bergaul bebas di tepi jalan raya? Mat punk berpeleseran di tepi kaki lima kompleks membeli belah?


Apabila anda terdengar perkataan ‘bersosial’, apakah lagi yang masuk di kepala otak anda? Lelaki dan perempuan menari di pusat kelab malam sambil memegang botol arak? Para pelacur jalanan yang sedang memanggil klien-klien mereka?





Definisi ‘bersosial’ yang tersasar

Inilah pemikiran yang masuk ke kepala otak kita pada masa kini. Kita memberikan kefahaman yang begitu sempit buat perkataan ‘bersosial’. Entah mengapa kita berfikir sedemikian, barangkali kerana kita sering disogokkan dengan gambaran media massa yang memaparkannya sebagai kehidupan mat rempit, gangster, pelacur, kaki kelab dan lain-lain lagi. Kisah seperti ini sangat dominan dipersembahkan dalam drama dan filem seperti ‘Rempit’, ‘Bohsia’, ‘Gangster’ dan beberapa judul yang lain.

Gambaran sebegini sebenarnya adalah terlampau ‘terkehadapan’. Dan apabila ramai menjadikan ini sebagai ukuran, maka tidak hairanlah masyarakat langsung tidak rasa bersalah apabila terbabit dengan gejala ‘bersosial’ yang sebenar. Jadi, untuk berlaku adil, lebih baiklah kita kembali kepada definisi sosial yang sebenar tanpa dipengaruhi sentimen tertentu. ‘Bersosial’ menurut Kamus Dewan bererti bercampur gaul (biasanya dimaksudkan antara lelaki dengan perempuan). Menurut definisi ini, tidak dinyatakan pula seorang yang perbezaan darjat dan kedudukan seseorang samaada golongan ilmuan mahupun sampah masyarakat.



Kehidupan ‘bersosial’ yang sebenar

Setelah anda memahami definisi ‘bersosial’, kita hendak fokus kepada kehidupan di kalangan pelajar kampus, yakni pelajar kolej dan universiti. Amat jarang sekali ‘bersosial’ dikaitkan dengan mereka, kerana mereka berselindung di sebalik kedudukan terpelajar mereka. Jika kebanyakan mat rempit dan bohsia di luar sana memang terang-terangan ‘bersosial’ di sebalik kejahilan dan persekitaran kotor mereka, anda akan dapati pula pelajar kampus ‘bersosial’ di sebalik diploma atau ijazah mereka dengan persekitaran yang suci!

Mengapa kita berkata begitu? Cara hidup kebanyakan orang di kampus memang amat menggusarkan. Jikalaulah mak bapak tahu kehidupan sebenar anak-anak mereka di sana, nescaya mereka takkan merelakan anak-anak mereka pergi membawa segulung diploma atau ijazah. Biarlah anak-anak membantu menoreh getah atau menanam padi daripada hanyut dengan kehidupan 'bersosial' begitu. Mungkin sewaktu di kampung halaman, mereka menyelia penuh kawalan terhadap anak-anak mereka, namun apabila berada di kampus, anak-anak mereka mula memberontak, menunjukkan wajah sebenar.

Kehidupan di kampus bukan sekadar di dalam kelas atau dewan kuliah. Percayakah anda, segala pembelajaran tadi hanya meliputi tidak lebih daripada 10% dan selebihnya adalah kehidupan 'bersosial'nya. Tambah-tambah lagi, kebanyakan kolej dan universiti membuka pintu 24 jam, 7 hari seminggu, maka inilah peluang terbesar buat mereka untuk menikmati kehidupan sebenar. Mereka bagaikan terkena kejutan budaya, sering mengadakan aktiviti mingguan secara beramai-ramai, tidak kira bercampur lelaki dan perempuan. Pada minggu ini mereka berkira-kira hendak ke I-city, kemudian minggu depan bercadang-cadang ke Bukit Broga, kemudian minggu lagi satu pula berjanji-janji untuk berkelah ke Sungai Gabai (mandi bersama?). Trend ini menjadi ikutan apabila koleksi gambar-gambar mereka, tanpa segan silu dijaja ke dalam facebook, blog dan sebagainya untuk mempromosikan segala bagai kehidupan 'bersosial' mereka.

Di kalangan mereka yang keluar beramai-ramai tadi, wujud hubungan kasih sayang yang terjalin secara 'tidak sengaja'. Maka sesetengah daripada mereka terbuka pintu kearah bercouple atau kadang-kadang mereka namakan sebagai buddy, abang angkat, kakak angkat, adik angkat dan sebagainya. Ini merupakan pengalaman yang wajib buat kebanyakan pelajar kampus dan sesiapa yang tidak bercouple dikira ketinggalan zaman. Pasangan couple ini disamping keluar secara beramai-ramai, mereka turut inginkan privasi keluar secara berpasang. Pada mulanya mereka berdating adalah atas nama study group, tetapi lama-kelamaan akan menjurus ke bilik hotel!

Maka terkeluarlah persoalan mengapa aktivis masyarakat terlalu menumpukan perhatian ke atas mat dan minah rempit untuk mengatasi masalah gejala pembuangan bayi? Maka tak perlu nak dihairankan, sedangkan pelajar kampus adalah golongan terpelajar yang tahu selok belok bagaimana hendak mencegah kehamilan, maka jarang sekali mereka meninggalkan bukti (bayi)! Mereka juga bijak mencari port baik, maka sekali lagi JAIS dan lain-lain jabatan agama jarang dapat mengesan mereka. Jadi, yang selalu menjadi ‘kambing hitam’ adalah mat dan minah rempit yang sememangnya dungu.



Muhasabah diri sendiri

Maka, sewajarnya kita semua menilai kembali aktiviti ‘bersosial’ kita selama ini. Kita bukanlah ingin terus anti ‘bersosial’, hanya duduk di dalam bilik untuk menelaah buku sahaja. Malah, sememangnya fitrah manusia memiliki keharusan untuk bergaul sebagaimana Allah SWT telah berfirman:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya)” (Surah al-Hujurat: 13)


Tetapi sudah menjadi keperluan setiap pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dibatasi oleh ketetapan syarak. Pergaulan hendaklah atas dasar keperluan dan kepentingan. Jadi, pertembungan sewaktu kuliah, kelas dan perbincangan memang tidak dapat dielakkan. Mungkin ada sedikit kelonggaran diberikan buat penemuan yang jarang berlaku atas alasan reunion dan sebagainya. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan kebatasan pergerakan para muslimah:

“Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

"Janganlah kamu menegah perempuan keluar untuk pergi ke masjid dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka." (Hadis Riwayat Ahmad).

"Solat Jumaat adalah hak yang diwajibkan keatas setiap orang Islam kecuali empat : Hamba sahaya, wanita, kanak-kanak dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Daud)


Apabila pertembungan itu berlaku atas keperluan dan kepentingan yang tertentu, maka etika pergaulan hendaklah dipatuhi. Masing-masing seharusnya memainkan peranan dalam menjaga penglihatan dan kehormatan mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

“Apabila kamu minta dari perempuan akan sesuatu seperti alat-alat yang digunakan di dalam rumah, baldi atau pinggan atau belajar ilmu atau minta sesuatu fatwa maka hendaklah kamu minta itu dari balik tabir iaitu dari belakang tabir iaitu dari suatu sekatan di antara kamu dengan perempuan itu" (Surah al-Ahzab: 53)

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka... dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka" (Surah an-Nur: 30-31)

"Dan janganlah kamu berkata lembut dan manja serta melunakkan suaramu ketika berbicara sehingga menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah dengan perkataan yang baik." (Surah al-Ahzab: 32)


Selepas ini, disamping anda menyumpah seranah mat rempit, pengkid, pelacur dan sebagainya, tunduk sebentar dan palinglah kepada diri anda. Adakah anda serupa dengan mereka?



*’Bersosial’ juga boleh diertikan sebagai pergaulan bebas

Sunday, January 9, 2011

Dari ‘grand dinner’ bertukar ‘grand mungkar’

Posted by salafus-sholih at 8:03 PM 66 comments

‘Fenomena masquerade’ pernah melanda negara kita.

Tahukah anda masquerade berasal dari pesta topeng yang dijalankan secara turun temurun oleh kelompok bangsawan eropah pada satu ketika dulu? Apakah kaitan pesta topeng ini dengan festival St. Stephen’s Day yang diraikan pada 26 Disember setiap tahun?



----------

Okey, kita sudah memasuki tahun baru, maka kebanyakan institusi pendidikan di negara kita semestinya sudah melangkah ke semester kedua. Pada waktu ini, sudah pasti kebanyakan organisasi pelajar pulun menyiapkan satu majlis yang dinamakan grand dinner. Eloklah kita berbincang perkara ini terlebih awal bagi memastikan mereka tidak tersengaja menukarkan majlis mereka menjadi ‘grand mungkar’.

Buat sesiapa yang belum tahu, grand dinner di universiti, kolej dan juga terdapat di sebahagian sekolah merupakan satu majlis untuk meraikan pelajar-pelajar senior yang bakal meninggal pembelajaran di institusi tersebut untuk suatu kos, fakulti atau kelas. Pada luaran, majlis ini tampak molek tetapi malangnya majlis ini dicemari dengan pelbagai anasir ‘tambahan’ yang tak sepatutnya.


Tema

Tema menjadi perkara wajib untuk dibincangkan dalam suatu grand dinner. Selalunya yang menjadi pilihan selalunya adalah yang ‘unik’ dan ‘luar biasa’. Tema seperti retro, english atau black and white mungkin lebih kontemporari berbanding tema batik, tradisional, ketimuran dan sebagainya. Tema sebegini tidak menjadi masalah namun yang hendak kita bincangkan di sini adalah tema yang lahir akibat daripada pemikiran yang terlebih ‘kreatif’. Tema sebegini yang sering dipilih sejak akhir-akhir ini agak merapu dan secara ‘kebetulan’ pula menyamai penampilan kaum kuffar. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW.:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia termasuk dari mereka”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Pakaian

Juga akibat daripada tema yang terpilih terlampau agak unik, sudah menjadi satu kerja pula hendak memadankan dengan pakaian. Maka dengan itu, ramai bersusah payah hendak mencari pakaian yang sesuai, kononnya ingin mengikut tema yang dikehendaki. Dan apabila ‘terbeli’ pakaian yang terlampau unik, dengan harga beratus-ratus, tambah pula ianya hanya boleh dipakai semasa grand dinner sahaja, bukankah ia jatuh dalam kategori membazir?

Sekali lagi, muslimah tidak terlepas daripada menjadi mangsa. Muslimah yang sebelum ini terkenal dengan tudung labuhnya, mula menyingkat sedikit tudungnya. Muslimah yang sebelum ini berpakaian serba longgar, memilih pula untuk berpakaian ketat. Muslimah yang agak janggal bermekap, mula berjinak-jinak dengan mekapnya. Bagi mereka inilah peluang yang susah ditemui, apa salahnya sekali sekala, setahun sekali pula. Tidak syak lagi, walau apa pun alasan, muslimah yang mengenakan perhiasan keterlaluan sebegini untuk dipertunjukkan pada orang awam jatuh pada kategori tabarruj. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Dan paling menggusarkan adalah mereka yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan ini sering menjuarai anugerah yang mereka panggil King & Queen. 'Terima kasih' buat mereka yang menggalakkan orang ramai berpakaian sedemikian.


Persembahan

Nasyid? Dikir barat? Ahhh, lupakan sahaja kerana agak ketinggalan zaman. Lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk, maka sudah tentu persembahan yang boleh diterima semua kaum menjadi pilihan. Akibat daripada sikap terlebih bertoleransi ini, maka nyanyian, joget dan tarian menjadi tidak menjadi masalah buat mereka. Lebih-lebih kaum perempuan diberi ‘tiket’ untuk menunjukkan bakat terpendam mereka sekaligus mampu menarik perhatian ramai. Buktinya, apabila tamat persembahan, satu dewan gamat bersorak tanda restu mereka. Padahal Allah SWT telah berfirman dengan jelas sekali:

“Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)

Berdasarkan ayat di atas , maka suara wanita yang sengaja dilembutkan dan dimerdukan serta dimanjakan , hukumnya adalah tidak boleh diperdengarkan kepada khalayak lelaki apatah lagi jika ianya boleh membawa kepada fitnah dan membangkitkan nafsu. Tampilnya muslimah untuk menyanyi dan menari di pentas bererti menampilkan dirinya untuk memfitnah atau difitnah, juga bererti menempatkan dirinya dalam perkara-perkara yang haram.


Sesi bergambar

Sedangnya berlangsungnya majlis, pasti ada selitan bergambar atau dibuat khas sesi bergambar pada penghujungnya. Sebenarnya tidak menjadi masalah sekiranya hendak bergambar-gambar demi kenangan. Tetapi yang tidak moleknya, apabila mereka ini bergambar ‘berlebih-lebihan’ dan ini mencetuskan kebimbangan. Sesetengah daripada mereka di antara lelaki dan perempuan sudah tidak ada ‘dinding’, bagaikan suami isteri pula. Sudahlah bergambar dengan pakaian ter’over’, mendedah aurat satu hal, kemudian menjadi rutin pula menyebarkan segala bagai gambar kenangan ke dalam rangkaian sosial seperti facebook, blog dan sebagainya. Kita bimbang apabila individu terbabit tergolong dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib seperti mana disebut oleh Rasulullah SAW dalam suatu hadis:

“Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahakn ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang menutup keaibannya” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



----------

Jelas sekali, grand dinner yang selalu kita bangga-banggakan selama ini lengkap sebagai satu pakej yang mengundang ke jalan kemaksiatan. Amat menghairankan sekali, grand dinner sebegini yang disukai ramai sehingga tanpa segan silu diberi taraf 5 bintang. Kita tidak pernah cuai dalam menunaikan solat, tidak pernah ketinggalan berjemaah ke masjid, senantiasa berpakaian menutup aurat, tetapi apabila tibanya grand dinner, kita hancur sama sekali.

Jadi apa yang disimpulkan di sini adalah kita sebagai umat Islam perlulah bertindak menghayati segala garis panduan yang ditetapkan Allah dan RasulNya dalam kesemua aspek kehidupan. Penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya.

Maka, selepas ini kita nilaikan semula sebarang grand dinner yang hendak kita anjurkan. Kita hendak meraikan para senior, bukan hendak meraikan maksiat. Kita hendak melangsungkan grand dinner, bukan grand mungkar! Sekian.

Friday, December 31, 2010

Drama, filem dan wayang

Posted by salafus-sholih at 3:33 PM 21 comments

Pada hari ini, hampir mustahil untuk berjumpa dengan isi rumah yang tidak punya sekurang-kurangnya sebuah televisyen (TV). Penggunaan TV telah dibahas panjang oleh para ulama, dan tidak perlu rasanya untuk menghurai secara lanjut. Cukuplah kita fokus kepada pendapat yang paling ringan, yakni mengatakan penggunaan TV adalah HARUS. Semua sedia maklum bahawa alat teknologi ini sekadar bertindak sebagai suatu alat pengarahan dan hiburan, maka hal-ehwal setiap alat ini boleh dilihat sama ada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Ia ibarat pedang, ditangan mujahid ia digunakan untuk berjihad manakala ditangan perompak pula digunakan untuk kejahatan.

Ini yang disokong oleh ulama kontemporari, Syeikh Yusof Qaradhawi menerusi bukunya, Al-Halal Wal Haram Fil Islam. Namun pandangannya itu juga disertai dengan beberapa SYARAT yang perlu dipatuhi. Tetapi amat malang sekali, umat Islam kini mengambil kesempatan terlampau mengambil mudah dalam soal ini sehingga meringan-ringankan syarat yang ditetapkan. Kita mahu berbincang dan bertanyalah kepada diri sendiri, sejauh manakah kita mematuhi syarat yang ditetapkan di mana penggunaannya dilakukan dalam kerangka yang dikatakan harus, tidak berubah kepada haram?


Penayangan aurat

Sudah menjadi lumrah, setiap rancangan di TV pasti tidak terlepas daripada menunjukkan pendedahan aurat. Ini termasuklah slot iklan, rancangan berita sekalipun, malah rancangan yang dicanang-canangkan sebagai ‘drama islamik’ juga tidak terlepas dalam soal ini. Apakah dibolehkan untuk menonton pendedah aurat ini? Menurut fatwa ulama al-Azhar, hukum melihat aurat di kaca TV adalah DIHARUSKAN dan ini disokong juga oleh fatwa lajnah ulama Kuwait. Namun, ianya disyaratkan tidak mengandungi elemen berlebih-lebihan sehingga merangsang nafsu. Kita kira dengan mengambil pandangan para ulama ini, adalah tidak muktamad lagi kerana turut disertai dengan syarat lanjut. Kita akan terus bincang dengan lebih teliti.


Elemen maksiat

Adegan merokok, minum arak, pergaulan bebas, dan lain-lain lagi sering dijadikan selitan sebagai pelengkap suatu rancangan drama dan filem. Walaupun sesetengah plot mempamerkan pengajaran namun kebanyakan plot lagi mempromosikan secara langsung kemaksiatan tesebut. Lihatlah lambakan filem Hollywood tidak kira genre aksi, seram, cinta mahupun lain-lain, pasti akan mempamer gaya hidup sosial mereka. Drama korea yang digilai oleh majoriti kaum wanita pula penuh dengan ketaksuban kisah cinta. Tidak banyak pengajaran terkandung melainkan mempromosikan sebuah kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang belum berkahwin, ditambah dengan plot konflik yang melanda mereka dan akhirnya diakhiri dengan kejayaan penyatuan mereka di penghujungnya (Adakah SEKS?). Mudah bukan jalan ceritanya yang kini boleh dihafal skrip oleh budak sekolah rendah sekali pun.


Merangsang nafsu

Tak perlu nak dihurai panjang juga, kerana sudah dihuraikan dalam artikel 'lelaki dan blue' sebelum ini. Semua orang pasti tahu wanita sering dieksploitasi untuk tujuan meningkatkan rating drama atau filem mereka. Adegan-adegan jijik wajib untuk diselitkan dalam setiap filem Hollywood. Paling tidak pun, drama dari jepun sering menjaja seorang watak heroin berwajah menggoda. Nah, tanyalah diri anda sejujurnya, mampukah anda mengawal nafsu melihat filem atau drama sebegini? Tidak ternaikkah sedikut pun nafsu seketika watak tersebut beraksi? Dan kaum wanita juga tidak terlepas. Tidak perlu menipu diri, masakan gambar Ikuta Toma dijadikan gambar profile di facebook, huh?


Campuran lelaki dan perempuan

Tidak cukup menonton TV di rumah, sudah menjadi trend kini untuk masyarakat kita menonton wayang. Menonton wayang umpama gaya ‘menonton TV’ secara berskala besar, yakni menonton secara beramai-ramai. Maka keadaan sekeliling turut memainkan peranan dalam menentukan hukumnya. Sebagai tambahan daripada syarat yang dibincangkan tadi, Syeikh Yusof Qaradhawi menambah, perlu elak dari bergaul di antara lelaki dan perempuan ajnabi dan lebih-lebih lagi menonton di dalam keadaan gelap! Apabila melihat fenomena menonton wayang pada hari ini, apakah anda masih berfikir ianya dalam kerangka syarat yang ditetapkan?


-------

Sudah tiba masanya kita semak kembali penggunaan TV dan wayang oleh kita sendiri. Kita bukan menyuruh anda untuk mencampak TV ke sungai, tetapi tidak mahu menjadikan teknologi sebagai pemudah cara untuk melakukan dosa-dosa besar yang lain. Jadi, sudah menjadi satu keperluan untuk setiap orang mempunyai suatu ‘filter’ yang mampu bertindak memilih rancangan yang mampu memanfaat diri dan membuang rancangan yang membawa kemudaratan. Ini yang ditekankan oleh Syeikh Yusof Qaradhawi lagi,

Setiap insan itu adalah ibarat mufti bagi dirinya sendiri. Ia berupaya menutup pintu keburukan dan kerosakan terhadap dirinya. Jika tidak berupaya menghalang dirinya, maka lebih baik tidak terjebak dengan sistem yang bakal membuka pintu kejahatan!


Sunday, October 10, 2010

Mencontohi solat Rasulullah

Posted by salafus-sholih at 2:16 AM 82 comments
Bilakah kali terakhir anda mempelajari cara bersolat dengan betul? Saya pasti kebanyakan kita akan menjawab semasa tadika atau sekolah rendah. Ketika itu, mungkin kita hanya mengikut bulat-bulat apa sahaja yang diajar oleh ustaz ustazah tanpa melihat dalil-dalil secara terperinci. Dan sesudah berapa lama kita meninggalkan zaman itu, maka mungkin solat kita mulai tersasar daripada yang sepatutnya. Oleh sebab itu, sudah tiba masanya kita menyemak semula solat kita dan mulai mempelajari solat berdasarkan dalil-dalil itu sendiri secara terperinci. Marilah kita memastikan solat kita benar-benar menyamai baginda sebagaimana sabdanya: "Solatlah kemu sebagaimana kamu melihat aku solat"


1. Menghadap Sutrah (Pembatas)

Dari Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan solat, hendaklah ia letakkan sesuatu dihadapannya. Jika ia tidak menemukan sesuatu hendaklah ia menancapkan tongkat. Jika ia tidak membaca tongkat hendaklah ia menarik garis kemudian apapun yang lewat dihadapannya tidak akan merosakkan solatnya". (HR Abu Dawud dan disahihkan oleh Ibnu Hibban, Ahmad dan Ibnul Madini)

2. Merapatkan saf

Dari Nu'man bin Basyir, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Rapatkanlah saf-saf kalian, atau Allah akan membuat wajah-wajah kalian saling berselisih (berpecah belah)." (HR Muslim)


3. Angkat takbir setentang dengan bahu atau telinga


Dari Abdullah bin Umar, bahawa Nabi SAW mengangkat kedua tangan beliau setentang bahu apabila membuka solat. (HR Bukhari dan Muslim)

Dari Malik bin Al-Huwairits bahawa apabila Rasulullah bertakbir beliau mengangkat kedua tangan hingga setentang telinga beliau. (HR Muslim)


4. Sedekap di dada

Dari Sahal bin Sa'ad As-Sa'idi, ia berkata: "Kaum muslimin diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan mereka di atas tulang hasta sebelah kiri mereka dalam solat"

Dari Waails, berkata: "Aku melihat Rasulullah sallallahua'laihiwassalam apabila berdiri dalam solat meletakkan tangan kanan beliau di atas tangan kiri beliau" (Hr Abu Daud dan An-Nasa'i)

Dari Waail bin Hujr, ia berkata: "Aku mengerjakan solat bersama Rasulullah, beliau meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dan meletakkannya di atas dada" (HR Ibnu Khuzaimah di dalam sahihnya dan ia mensahihkannya)


5. Rukuk dengan sempurna


a. Meratakan tulang belakang ketika rukuk

Dari Wabishah, dia berkata: "Aku pernah melihat Rasulullah SAW mengerjakan solat. Apabila rukuk, beliau meratakan punggung beliau hingga kalaulah diletakkan air di atasnya, nescaya tidak akan tertumpah". (HR Ibnu Majah dan At-Tabraani dalam Al-Kabir dan Ash-Saghir)

b. Tangan diletakkan di lutut, jari jemari direnggangkan

Dari Abu Humeid, ia bercerita tentang sifat solat Rasulullah SAW: "Apabila beliau rukuk, beliau meletakkan kedua telapak tangan dengan kukuh pada kedua lutut beliau dengan merenggangkan jari jemari beliau". (HR Abu Daud)


6.Sujud dengan sempurna

a. Posisi sujud dengan tujuh anggota iaitu dahi (termasuk hidung, dua tapak tangan, dua lutut dan dua kaki

Dari Abdullah bin Abbas, dia berkata: "Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota, yakni dahi (sambil mengisyaratkan dengan tangan ke hidung beliau), dua tangan, dua lutut dan hujung jari telapak kaki" (Muttafaqun 'alaih)

b. Hidung di cecahkan ke tempat sujud

Dari Abdullah bin Abbas, dia berkata: "Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota, yakni dahi (sambil mengisyaratkan dengan tangan ke hidung beliau), dua tangan, dua lutut dan hujung jari telapak kaki" (Muttafaqun 'alaih)


c. Telapak tangan di ratakan ke lantai dengan membentangkan kedua telapak tanganya, tidak menggenggam jari jemarinya dan tidak pula merenggangkannya.

At tirmidzi berkata: 'Cara seperti inilah yang dipilih oleh para ahli ilmu" - Kitab Al-Mumti', Nailul Authar dan lain2 (sila rujuk buku Sifatus Solah bil dalil wa ta'lil oleh Syaikh Muhammad bin Salih bin Sulaiman Al-Khazim)

d. Siku dinaikkan

"Baginda mengangkat kedua lengannya dari tanah dan menjauhkan dari rusuknya sampai warna putih kedua ketiak baginda terlihat orang di belakangnya" (HR Bukhari dan Muslim)

e. Kedudukan kaki semasa sujud hendaklah dirapatkan, diteggakkan dan jari jemari di hadap ke arah kiblat

Syaikh Muhammad Bin Utsaimin berkata: "Adapun kedua telapak kaki keduanya harus dirapatkan, dasarnya adalah hadis 'Aisyah, ia berkata: "Ketika aku kehilangan Rasulullah, tanganku meraih kedua telapak kaki beliau sewaktu beliau sedang sujud" Kemudian Syaikh Muhammad Bin Utsaimin menjelaskan: "Satu tangan tentu tidak boleh meraih kedua telapak kaki kecuali bila keduanya dirapatkan." (Al-Mumti')

Di riwayatkan oleh Abu Humeid radiallahuan tentang sifat solat Nabi,: "Apabila sujud beliau idak membentangkannya dan tidak pula menggenggamnya, dan beliau menghadapkan hujung-hujung jari kaki beliau ke arah kiblat". (HR Bukhari)


7. Duduk antara dua sujud


a. Menegakkan kaki

Dari Abdullah bin Umar, ia berkata: "Termasuk sunnah dalam solat ialah menegakkan kaki kanan dan menghadapkan jari jemarinya ke arah kiblah lalu duduk di atas kaki kiri". (HR An-Nasa'i dan Abu Dawud dan disahihkan oleh Al-Albaani)

b. Meletakkan kedua tangan di atas paha dan hujung-hujung jari tepat di atas lutut.


Hendaklah ia meletakkan tangannya di atas paha dengan hujung-hujung jari tangan pada lututnya. Atau meletakkan tangan kanan di atas lutut kanannya seta tangan kiri di atas lutut kirinya, seolah-olah menggenggamnya. (Lihat Sisat Solat Nabi. Hlm. 40)

8. Duduk tasyahhud


a. Isyarat tasyahud dengan ibu jari dan jari tengah membentuk bulatan. Jari telunjuk di naikkan dan dibengkokkan sedikit

"Nabi SAW meletakkan telapak tangan kirinya di atas lutut kirinya dengan mengembang, tetapi baginda menggenggam semua jari tangan kanannya dengan mengacukan telunjuknya ke kiblat dan mengarahkan pandangan matanya ke telunjuknya" (HR Muslim)



Dipetik dari buku Sifat Solat Nabi, http://www.docstoc.com/docs/3856248/Sifat-Solat-(Sembahyang)-Nabi (digalakkan untuk dicetak). Terima kasih kepada Ahmad Humaizi untuk gambar.

 

jalan salafus sholih Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez Distributed by Deluxe Templates